KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket menjual barangan tiruan di Jalan Petaling terbongkar selepas pihak berkuasa menemui tujuh bilik kecil yang diubah suai menjadi stor simpanan dalam serbuan Op Putra 7.0.
Serbuan yang dijalankan hasil risikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur selama dua minggu itu bermula pukul 2 petang tadi turut mendapat kerjasama pemilik cap dagang yang sah.
Ketika serbuan dijalankan, beberapa warga asing yang dipercayai menjadi penjaga premis sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Menurut Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas empat stor dan berjaya merampas kira-kira 5,000 unit barangan disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM700,000.
Katanya, antara barangan yang dirampas merupakan kasut, beg tangan dan baju.
“Modus operandi yang dikesan ialah sindiket disyaki menyewa premis (stor) itu dan sering berpindah-pindah. Setiap bilik kecil dipercayai dimiliki oleh individu berlainan.
“Barangan terbabit disyaki dijual secara fizikal atau dalam talian dengan harga bermula RM80 hingga RM1,500 bergantung kepada jenis barang serta gred,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Sabri, KPDN sedang menyiasat pemilik dan kadar sewa premis berkenaan bagi tindakan lanjut di bawah Akta Cap Dagangan 2019, selain memperkukuh risikan terhadap sindiket yang dipercayai mendapat bekalan dari luar negara.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha membanteras penjualan barangan tiruan dilakukan secara berterusan bagi mengekalkan status Malaysia yang telah dikeluarkan daripada senarai pemantauan United States Trade Representative (USTR) berkaitan aktiviti penjualan barangan tiruan.
“Langkah ini penting bagi melindungi pengguna, termasuk pelancong yang sering tertipu dengan barangan tiruan berkualiti tinggi dijual pada harga premium,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














