IPOH – Pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia pendidikan menjadikan Ahmad Tazally Mohamad Zain sebagai penerima Tokoh Anugerah Guru 2025 sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Peringkat Negeri Perak 2025 di sini hari ini.
Bekas Pengetua Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah, Kampung Gajah itu menabur bakti selama 34 tahun dalam bidang pendidikan, bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Kinta, Ipoh pada 1989 sebelum meneruskan khidmat di beberapa sekolah lain termasuk SM Izzuddin Shah di sini.
Menurut beliau, penganugerahan tersebut bukanlah satu pengiktirafan untuk dirinya semata-mata, tetapi penghargaan kepada seluruh warga pendidik yang telah berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengenal penat lelah.
“Kejayaan ini bukan milik individu, sebaliknya milik semua guru yang sentiasa mencurahkan tenaga dan idea dalam mendidik generasi baharu.
“Guru berkhidmat dalam senyap, namun hasilnya dapat dilihat melalui kejayaan pelajar,” katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah kemuncak dalam majlis itu dari Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.
Ahmad Tazally berkata, sepanjang berkhidmat sebagai pengetua di SM Raja Dr. Sultan Nazrin Shah, pelbagai usaha telah digerakkan bersama barisan guru untuk memperkasa kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar sehingga keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah itu melonjak ke kedudukan 10 terbaik peringkat negeri pada tahun 2024.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta semua rakan setugas yang banyak memberikan sokongan sepanjang perkhidmatan beliau dalam dunia pendidikan.
Dalam majlis itu, antara anugerah lain yang berkenan disampaikan oleh Sultan Nazrin ialah Anugerah Jasamu Dikenang Tahun 2025, Anugerah Guru Cemerlang Kelas al-Quran dan Fardhu Ain Tahun 2025, Anugerah Guru Tadika Islam Perak Cemerlang Tahun 2025, Anugerah Hafiz Muda Tahun 2025 serta beberapa kategori pelajar dan sekolah terbaik. – KOSMO! ONLINE














