SEOUL – Kerajaan Korea Selatan memberikan hadiah ‘sempurna’ berupa replika mahkota diraja berwarna emas kepada Presiden Amerika Syarikat(AS), Donald Trump.
Trump bertemu rakan sejawatnya di Korea Selatan, Lee Jae-myung hari ini sebagai sebahagian daripada lawatan di mana beliau dijadualkan mengadakan rundingan bersama Presiden Xi Jinping dari China.
Kemuncak majlis sambutan mewah di ibu kota bersejarah Gyeongju menyaksikan Trump dihadiahkan replika mahkota yang dipakai oleh raja-raja Silla iaitu dinasti yang memerintah Semenanjung Korea dari tahun 57 sebelum masihi hingga 935 masihi.
“Hadiah ini adalah replika mahkota emas terbesar dan paling mewah yang sedia ada dari zaman Silla,” kata Trump.
Pejabat Presiden di Seoul berkata, mahkota itu melambangkan ‘keamanan, kewujudan dan kemakmuran bersama’ di Semenanjung Korea dengan semua ciri tersebut mencerminkan era kestabilan yang panjang dinasti Silla.
Rakyat AS berhimpun di seluruh negara bulan ini kerana membantah cara Trump mentadbir negara yang disamakan dengan seorang raja sekali gus menghakis norma demokrasi di Amerika Syarikat.
Trump mengejek perhimpunan itu di media sosial. Beliau berkongsi siaran janaan kepintaran buatan(AI) menunjukkan dirinya memakai mahkota sambil menerbangkan jet pejuang dihiasi perkataan ‘King Trump’ dan menggugurkan najis ke atas penunjuk perasaan. – AFP














