PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan berdepan detik cemas apabila menyaksikan kejadian bumbung kawasan lobi sebuah hotel terkemuka di ibu negara runtuh awal pagi tadi.
Menurut perkongsian Akasyah Rashid di Threads, kejadian itu berlaku sejurus sebaik dia tiba di lokasi tersebut untuk menghantar pesanan pelanggan.
“Ngam-ngam (sejurus) aku sampai hotel, bumbung main entrance (pintu utama) runtuh. Mengucap panjang aku,” katanya.
Akasyah turut meluahkan rasa hairan mengenai struktur bumbung hotel berkenaan yang runtuh secara tiba-tiba.
“Nasib baik pekerja tiada apa-apa (kecedeeraan). Cuma tertanya-tanya macam mana bumbung hotel gah gitu boleh jatuh? Agak terkesima dibuatnya.
“Alhamdulillah Allah selamatkan aku. Cuma aku trauma jela bila (kejadian) berlaku depan mata,” kongsinya.
Hantaran lelaki itu mendapat lebih 1,200 perkongsian dan pelbagai reaksi daripada orang ramai.
“Saya stay (menginap) sini. Bilik betul-betul kawasan front door (pintu depan) bumbung ini. Pukul 3 pagi bunyi kuat bergegar bilik ingatkan ada letupan. Hubungi ‘front desk’ dia cakap nothing to worry about (tiada apa yang perlu dibimbangkan),” kongsi seorang pelanggan hotel tersebut.
Seorang lagi penduduk kawasan sekitar berkongsi kejadian runtuhan bumbung tersebut turut dirasai hingga ke kawasan kediamannya.
“Selepas bunyi (kuat), tengok tingkap ramai pekerja berkumpul. Serius bunyi kuat. Awak memang datang pukul 3 pagi kan? Nasib pukul 3 pagi, kalau 3 petang tetamu ramai nak ‘check-in’ (daftar masuk) masa itu,” kata Ema Hashim. – KOSMO! ONLINE














