PETALING JAYA – Umat Islam di Malaysia dijangka memulakan ibadah puasa Ramadan pada 18 Februari 2026, yang secara kebetulan jatuh ketika cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang bermula 17 hingga 18 Februari 2026.
Berdasarkan Kalendar Akademik 2026 Kementerian Pendidikan (KPM), cuti tambahan sempena Tahun Baharu Cina bagi sekolah Kumpulan A (Kedah, Kelantan dan Terengganu) bermula 15 hingga 19 Februari 2026, manakala Kumpulan B (negeri lain termasuk Selangor, Johor dan Sabah) bercuti dari 16 hingga 20 Februari 2026.
Fenomena ini bermakna minggu pertama Ramadan akan berlangsung dalam suasana cuti panjang bagi kebanyakan pelajar dan penjawat awam sekali gus memberi ruang kepada keluarga Islam membuat persiapan awal berpuasa serta pulang ke kampung halaman.
Selain itu, aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama seluruh negara dijangka meningkat dari kebiasaan cuti susulan pertembungan menarik antara dua budaya besar iaitu perayaan masyarakat Cina dan persiapan Ramadan umat Islam. – KOSMI! ONLINE














