KUALA LUMPUR – Pelaksanaan program penyasaran subsidi petrol RON95 atau Budi Madani RON95 (Budi95) bermula 30 September lalu berjalan lancar.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan Budi95 secara berperingkat membolehkan ujian awal terhadap sistem dilaksanakan dalam skala kecil sebelum diperluaskan kepada kumpulan sasaran yang lebih besar.
Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti, menilai dan menambah baik sebarang kelemahan teknikal, logistik atau operasi yang mungkin timbul sepanjang tempoh pelaksanaan awal.
“Gangguan teknikal yang dihadapi bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) pada 31 Ogos dan beberapa hari berikutannya memberi pengajaran kepada pelaksanaan Budi95.
“Di sebalik pelaksanaan sekali gus Sara untuk semua (rakyat 18 tahun ke atas) bermula 31 Ogos, pelaksanaan Budi95 dijalankan secara berperingkat bermula dengan anggota tentera dan polis pada 27 September, diikuti penerima STR pada 28 September, seterusnya diperluaskan kepada warga Malaysia yang layak pada 30 September,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai perincian kajian terhadap mekanisme keberkesanan penggunaan MyKad sebagai penentu kelayakan subsidi petrol serta jaminan kerajaan berhubung ketelusan pelaksanaan dan keselamatan data peribadi rakyat.
Anwar berkata, melalui pelaksanaan secara berfasa itu, kerajaan dapat memastikan sistem Budi95 benar-benar bersedia dari segi skala infrastruktur, keselamatan data peribadi, serta keberkesanan mekanisme pengesahan menggunakan MyKad sebelum dilaksanakan secara menyeluruh kepada warga Malaysia yang layak.- KOSMO! ONLINE














