fbpx
Pegawai penguat kuasa memeriksa daging yang dijual ketika membuat serbuan di sebuah premis perniagaan di Ayer Keroh, Melaka. Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON

Premis jual daging import guna perkataan halal diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Sebuah premis menjual daging sejuk beku import di Ayer Keroh di sini diserbu selepas memperdaya pelanggan dengan mempamerkan halal pada papan tanda perniagaan meskipun tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, semakan mendapati syarikat itu bukan pemegang SPHM yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, pemeriksaan di premis itu mendapati sebanyak 28.85 kilogram (kg) daging dengan logo halal tidak sah untuk dijual kepada pelanggan. Kesemua barangan tersebut disita membabitkan nilai rampasan berjumlah RM7,802.15.

“Premis ini hanya menjual daging sejuk beku yang diimport dari Jepun dan Australia yang mempunyai sijil halal dari negara asal masing-masing, namun penggunaan perkataan ‘halal’ pada papan tanda boleh mengelirukan pengguna.

“Malah, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pernah menegur premis ini tahun lalu atas kesalahan sama, namun masih berulang,” katanya kepada pemberita, hari ini. Operasi turut disertai pegawai Bahagian Pengurusan Halal JAIM.

Menurut Mohd. Hazimin, susulan itu, JAIM mengeluarkan arahan supaya perkataan ‘halal’ diturunkan atau dipadam pada papan tanda perniagaan dalam masa tiga hari.

“Syarikat turut diarahkan memadam logo atau perkataan halal di semua platform digital dan media sosial dengan kadar segera. Ketika pemeriksaan, pekerja Islam di premis itu mengakui syarikat tidak memiliki SPHM dan hanya mengambil produk halal dari pembekal luar untuk dijual,” katanya.

Selain itu, KPDN turut mengambil tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI