PETALING JAYA – “Saya dan isteri mohon kepada semua untuk mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anak-anak triplet (kembar tiga) kami berdua yang kini masih berada dalam wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU)/ Unit Penjagaan Khas Bayi (SCN) Hospital Melaka.”
Demikian perkongsian pegawai tentera, Mejar Ir. Ts. Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 40, yang memaklumkan anak kembarnya kini masih memerlukan rawatan rapi selepas selamat dilahirkan pada 24 Oktober lalu.
Menurut Mohd. Fikry, ketiga-tiga bayi tersebut menghadapi risiko komplikasi akibat kelahiran pramatang dan sedang dipantau rapi oleh pakar perubatan.
“Allahuakbar…Mereka lahir pramatang pada minggu ke 31 dan terdapat risiko tinggi berlakunya komplikasi bayi pramatang dan memerlukan pemantauan rapi oleh doktor pakar yang merawat mereka.
“Kami merayu agar pihak Hospital Melaka melakukan prosedur yang sebaiknya dan elakkan sebarang kecuaian untuk memastikan mereka selamat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Bapa itu turut memaklumkan bahawa bayi-bayi berkenaan dijangka akan terus berada dalam pemantauan sehingga mencapai usia kandungan mencukupi, iaitu sekitar minggu ke-35.
“Walau apa pun yang berlaku kami pasrah dan reda dengan segala ujian, segala ketentuan dan perancangan Allah SWT adalah yang terbaik buat kami.
“Semoga triplet semuanya kembali sihat dan selamat dengan izinNya. Doakan kami terus kuat,” katanya.
Perkongsian tersebut menerima perhatian ramai yang turut menitipkan doa serta kata-kata semangat kepada pasangan berkenaan agar terus tabah menghadapi ujian tersebut.
“Sebagaimana Ka Rin dan Abang Fikry kuat selama ini, triplet juga akan kuat. Doa seluruh rakyat Malaysia bersama kalian,” ucap Nonie Baharin.
“Saya doakan semoga triplet terus sihat dan kuat, moga tuan dan isteri pun sama terus kuat untuk tempuhi ujian ini,” kata Salzilawati Ramli.
“Insya-Allah triplet kuat…Kuat seperti ibu dan ayahnya,” kata Nurul Akma.
Terdahulu, kisah Mohd. Fikry dan isterinya, Sabrina Hakiem Zaini, 40, mendapat perhatian rakyat Malaysia selepas bayi tunggal mereka, Muhammad Al Fateh Amri berusia lapan bulan maut selepas dihantar ke sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah pada September tahun lalu.
Allahyarham Muhammad Al Fateh merupakan anak pertama pasangan tersebut yang dinantikan selama 13 tahun.
Bagaimanapun, pasangan tersebut kemudiannya menerima tajaan daripada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk melakukan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF). – KOSMO! ONLINE














