KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan anak kandungnya menggunakan sebilah parang dalam kejadian minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 49 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan anak perempuannya berusia sembilan tahun 10 bulan menggunakan sebilah parang di sebuah pangsapuri di Setapak, kira-kira pukul 1.30 pagi, 22 Oktober lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd. Radzuan memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran memandangkan mangsa merupakan anak kandung tertuduh sendiri dan kes ini melibatkan unsur keganasan terhadap kanak-kanak.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah melibas parang ke arah anaknya hingga terkena bahagian kaki mangsa dan menyebabkan luka sepanjang empat hingga lima sentimeter di kaki kiri.
Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.
Susulan kejadian itu, tertuduh ditahan di lokasi kejadian dan direman pada hari sama bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














