HANOI – Banjir disebabkan hujan paling lebat di tengah Vietnam pada minggu ini mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan menenggelamkan lebih 100,000 rumah, kata kementerian alam sekitar.
Wilayah-wilayah pesisir pantai Vietnam dilanda hujan lebat sejak Ahad lalu dengan taburan hujan mencecah 1.7 meter turun dalam tempoh 24 jam.
Empat orang terkoban dan lima lagi hilang di wilayah Hue, Danang dan Lam Dong, kata kementerian itu dalam satu laporan hari ini.
“Lebih 150 kejadian tanah runtuh dilaporkan, 2,200 hektar tanaman musnah dan sejumlah 103,525 rumah ditenggelami air,” katanya.
Ramai daripada lebih 21,000 mangsa yang dipindahkan dari zon banjir mula pulang ke rumah masing-masing apabila banjir surut di bandar Hue, tengah Vietnam pagi tadi.
Bagaimanapun, lebih banyak hujan dilaporkan pada waktu tengah hari, memaksa loji hidroelektrik tempatan melepaskan air dalam takungannya.
Wilayah Danang juga diramal mengalami lebih banyak banjir dalam tempoh dua hari akan datang, dengan sungai-sungai di bandar Danang berada di paras bahaya, kata kementerian alam sekitar.
Bencana alam dengan kebanyakannya ribut, banjir dan tanah runtuh menyebabkan 187 orang mati atau hilang di Vietnam sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini. – AFP














