IPOH – Sebanyak 300 jenis produk kesihatan tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM1.5 juta dirampas Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dalam serbuan ke atas empat premis di sekitar bandar raya ini minggu lalu.
JKN Perak dalam kenyataannya memaklumkan, operasi melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Perak itu dijalankan di Bercham, Meru dan Jelapang hasil daripada aduan awam dan pemantauan pihak berkuasa.
Menurut kenyataan itu, kesemua produk yang dirampas itu tidak memiliki notifikasi sekali gus telah melanggar peruntukan undang-undang di bawah Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Produk-produk yang dirampas itu termasuk ubat tradisional, produk ubat-ubatan berjenama luar negara yang tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.
“Turut dirampas dalam pemeriksaan itu adalah tiga peranti digital,” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan CPF Perak dalam membanteras penjualan dan pengedaran produk kesihatan tidak sah di pasaran Malaysia.
“Ia juga bermatlamat meningkatkan kesedaran pengguna melalui kempen ‘Tolak Ubat Tidak Sah’ (TOBaTS),” katanya. – KOSMO! ONLINE














