PETALING JAYA – Mata wang digital dalam permainan Roblox, yang dikenali sebagai Robux membolehkan pemain membeli barangan eksklusif, avatar serta mendapat akses ke permainan atau kuasa khas.
Berdasarkan laman sesawang Roblox Support, kadar asas ialah sekitar AS$1.25 (RM5.24) untuk setiap 100 Robux, manakala 1,000 Robux berharga kira-kira AS$12.50 (RM52.36)) untuk pembelian pemain biasa.
Ini bererti, 1,000,000 Robux berharga kira-kira AS$12,500 (RM52,362.50).
Difahamkan, harga Robux boleh berubah bergantung kepada moneda tempatan dan promosi yang berjalan.
Walaupun Robux kelihatan seperti ‘wang maya’, ia mempunyai nilai sebenar dan ramai pakar menekankan perlu berhati-hati dengan pembelian, terutama jika melibatkan kanak-kanak.
Sebelum ini, ia dikenali sebagai Roblox Point yang diperkenalkan sejak 2004 sebelum Robux diperkenalkan pada 14 Mei 2007.
Berbeza dengan Roblox Point, Robux mempunyai nilai sebenar dan boleh dibeli menggunakan wang ringgit atau kad hadiah yang boleh dibeli di pasaran Malaysia (bermula harga RM50 sehingga RM125) sebagai alternatif untuk menambah kredit dan menebus Robux.
Selain itu, Robux boleh dibeli secara langsung di aplikasi Roblox atau melanggan Roblox Premium dengan harga bermula RM19.90 (Premium 450 iaitu 450 mata setiap bulan) sehingga RM79.90 (Premium 2200 iaitu 2200 Robux setiap bulan).
Cara lain untuk mendapatkan mata Robux adalah dengan mencipta permainan atau item dalam Roblox Studio selain menyertai acara khas yang memberikan Robux secara percuma.
Terdahulu, polis tidak menolak kemungkinan permainan dalam talian popular dalam kalangan kanak-kanak, Roblox mungkin telah mempengaruhi insiden melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera dikelar dileher di Batu Pahat, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata siasatan awal mendapati abang mangsa telah bermain Roblox secara berlebihan dan berjaya mengumpul kira-kira satu juta mata dalam permainan itu.
Katanya, dipercayai mangsa ini telahpun merosakkan telefon abangnya dan mata Robux yang telah dikumpulkan itu hilang.- KOSMO! ONLINE














