fbpx
DONALD TRUMP - Foto AFP

Trump tidak tolak kemungkinan bertanding penggal ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak menolak kemungkinan untuk bertanding semula bagi penggal ketiga menduduki White House dengan menyatakan bahawa beliau amat ingin melakukannya, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.

Namun, Trump menolak idea untuk bertanding sebagai naib presiden pada tahun 2028, satu cadangan yang dikemukakan oleh sebahagian penyokongnya sebagai cara untuk mengelak perlembagaan AS yang melarang presiden bertanding bagi penggal ketiga.

Bercakap kepada wartawan semasa lawatannya ke Asia, Trump menyifatkan idea bertanding sebagai naib presiden itu adalah sebagai tidak wajar dilakukan.

Masih belum jelas kaedah yang akan digunakan oleh beliau untuk bertanding bagi mempertahankan jawatan presiden buat kali ketiga.

Bercakap kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One dalam penerbangan ke Jepun dari Malaysia, Trump berkata, walaupun dibenarkan untuk bertanding semula sebagai naib presiden, beliau tidak mempunyai sebarang rancangan untuk berbuat demikian.

“Saya rasa orang ramai tidak akan menyukainya,” katanya. 

Bercakap mengenai kemungkinan untuk memegang jawatan buat penggal ketiga, Trump berkata: “Saya sebenarnya belum memikirkannya. Namun, saya mempunyai angka tinjauan terbaik yang pernah saya dapat.”

Selain itu, Trump turut mencadangkan Naib Presiden, JD Vance dan Setiausaha Negara, Marco Rubio sebagai pengganti berpotensinya.

“Apa yang boleh saya katakan adalah kami mempunyai kumpulan pemimpin yang hebat, sesuatu yang mereka (Parti Demokrat) tidak ada,” tambahnya.

Pindaan ke-22 Perlembagaan Amerika melarang mana-mana presiden daripada bertanding untuk penggal ketiga.

Minggu lalu, bekas penasihat strategik Trump, Steve Bannon berkata, satu rancangan sedang disusun untuk memastikan presiden berusia 79 tahun itu mendapat satu lagi penggal pentadbiran. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI