fbpx
Mohd. Shukri (kanan) dan Shahidan dalam pertemuan di Pejabat MB Perlis sebelum ini. - Foto FB MOHD SHUKRI RAMLI

Shahidan terajui PN Perlis, Shukri ucap tahniah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang digugurkan daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu mengucapkan tahniah kepada penggantinya, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim atas pelantikan sebagai Pengerusi PN Perlis yang baharu.

“Semoga dengan pelantikan ini, Datuk Seri akan terus memimpin dan memperkukuh perpaduan serta kekuatan PN di negeri ini,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini. Katanya lagi, pengukuhan PN sekali gus dapat memastikan pentadbiran PN terus kekal mentadbir Perlis dan membawa kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 kelak.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri masing-masing digugurkan daripada jawatan sebagai Pengerusi PN Pahang dan Perlis.

Jawatan pengerusi bagi kedua-dua negeri itu kini disandang oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN Pahang), manakala Ahli Parlimen Arau, Shahidan (PN Perlis).

Pelantikan yang berkuat kuasa hari ini diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang bersidang malam tadi dengan dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI