PETALING JAYA – Perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan hari ini susulan gangguan bekalan kuasa yang dikesan di Stesen Gombak.
Rapid KL dalam kenyataan di Facebook berkata, semua tren dari arah Putra Heights hanya akan berpatah balik di Stesen Wangsa Maju sementara kerja-kerja pemulihan dijalankan.
“Pelanggan yang ingin meneruskan perjalanan ke Stesen Gombak perlu menggunakan perkhidmatan bas perantara yang disediakan dari Stesen Wangsa Maju ke Taman Melati dan Gombak,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pelanggan diminta untuk menyentuh keluar kad atau token di Stesen Wangsa Maju sebelum menaiki bas perantara.
Katanya, sistem tiket di lapan stesen iaitu Gombak, Taman Melati, Wangsa Maju, Sri Rampai, Setia Wangsa, Jelatek, Datuk Keramat dan Damai tidak beroperasi buat sementara waktu.
“Pelanggan dinasihatkan membuat bayaran tambang di stesen destinasi masing-masing. Sebagai langkah keselamatan, tren juga akan berhenti lebih lama di semua platform,” katanya.
Syarikat pengendali itu turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menasihatkan pengguna memantau kemas kini terkini di media sosial rasmi Rapid KL. – KOSMO! ONLINE














