fbpx
Mohammad Fadhil (hadapan, kiri) dan Che Wan Norehsan (belakang, dua dari kiri) dihadapkan atas pertuduhan menipu dan menerima wang RM4,300 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Penjawat awam Terengganu didakwa tipu kerja ukur tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Dua penjawat awam masing-masing penolong pegawai tanah dan pembantu awam sebuah pejabat tanah dan daerah di Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan  menerima duit dan menipu membabitkan amaun RM4,300.

Kedua-dua tertuduh iaitu Che Wan Norehsan Che Wan Yusoff, 44, dan Mohammad Fadhil Ibrahim, 39, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

Tertuduh pertama, Che Wan Norehsan yang merupakan penolong pegawai tanah diddakwa menerima wang tanpa balasan berjumlah RM800 daripada seorang individu yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai penjawat awam pada Jun 2023. Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Che Wan Norehsan turut didakwa bersama Mohammad Fadhil yang juga pembantu awam memperdaya mangsa agar mempercayai wujudnya bayaran upah bagi kerja ukur tanah untuk empat lot di sebuah mukim di negeri ini.

Mangsa yang diperdaya telah menyerahkan wang RM3,500 bagi kerja ukur tanah yang sebenarnya tidak wujud pada Mei 2022. Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda dan sebatan, jika sabit kesalahan

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan masing-masing dengan wang jaminan RM12,00 dan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 November depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI