JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan Modul Pendidikan Pengurangan Risiko Bencana (DDR) sempena Pelancaran Kesiapsiagaan Kementerian Pendidikan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata, modul itu dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan warga sekolah terutamanya
sekolah yang berisiko menghadapi bencana.
Jelasnya, dalam modul ini ada tiga fasa, fasa pertama ialah memberi pendedahan awal sebab kita tahu MTL sudah tiba sebagai contohnya di Perak dan Pulau Pinang sudah berlaku bencana banjir. “Keduanya, latihan menghadapi bencana akan diadakan dari semasa ke semasa diberikan Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara).
“Sebagai contohnya, dua bulan lepas kita adakan di Terengganu Yang mana semua PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dijemput dan dilatihkan bagaimana tindakan-tindakan yang sewajarnya apabila berlakunya sesuatu bencana.
“Ketiganya, melalui pengedaran buku modul, kita menjangka ia akan lebih membantu kita apabila kita nak mengendalikan kurikulum ataupun program-program sewajarnya kerana bahasa yang digunakan agak mudah difahami bukan sahaja guru malah murid dan pelajar sekolah,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Kementerian Pendidikan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Pusat Beli-belah Angsana Mall di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, KPM mengambil pendekatan proaktif kerana Malaysia berdepan musim banjir hampir setiap hujung tahun yang menjejaskan pelbagai negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, berdasarkan data Nadma, terdapat kira-kira 9,000 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara dan 60 peratus daripadanya beroperasi di kawasan sekolah yang dilengkapi kemudahan asas seperti dewan, bilik darjah, bilik air dan kantin.
“Sekolah menjadi nadi penting dalam pengurusan bencana, sebab itu kita pastikan warga sekolah bukan sahaja bersedia sebagai mangsa tetapi juga mampu bertindak sebagai penyelaras bantuan di peringkat komuniti,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama strategik turut dijalinkan antara KPM dan Nadma melalui inisiatif Rakan Nadma yang menghimpunkan sukarelawan daripada kalangan guru, pelajar Institut Pendidikan Guru serta murid Tingkatan Enam di bawah Skuad Ihsan Madani.
Katanya, Modul DRR tidak hanya memfokus kepada banjir, tetapi merangkumi pelbagai bentuk bencana seperti tanah runtuh, ribut, gempa bumi kecil dan tsunami bagi membentuk kefahaman menyeluruh tentang risiko bencana dalam konteks Malaysia.-KOSMO! ONLINE














