KUALA LUMPUR – Kerjasama dan hubungan negara anggota ASEAN dengan Republic of Korea (ROK) dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hubungan dua hala itu akan dipertingkat khususnya dalam bidang pemindahan teknologi, kecerdasan buatan (AI) serta keselamatan siber.
“Pendekatan tentang kerjasama pertukaran maklumat (antara negara) khusunya dari segi jenayah siber dan lain-lain.
“Kita harap supaya apa yang dibincangkan dalam sidang (hari ini) akan dilaksanakan oleh peringkat Menteri-menteri Luar ASEAN,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Kemuncak ASEAN-ROK di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, tiada sebarang perjanjian baharu yang dibuat dalam persidangan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, satu kenyataan bersama akan dikeluarkan mengenai beberapa perkara yang akan dilakukan berhubung kerjasama yang telah dinaik taraf itu. – KOSMO! ONLINE














