fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencederakan ibunya dan melakukan ugutan jenayah. Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON/KOSMO!

Anak pulas tangan ibu, ugut bunuh tak dapat pinjam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memulas tangan ibunya hingga cedera selain mengugut untuk membunuh wanita itu kerana enggan meminjamkan kereta Proton Saga bulan lalu.

Tertuduh, U. Sarvin, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap C. Chitra, 41, dengan cara memulas tangan kiri ke belakang. Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Pemuda itu turut dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan cara mengugut mahu membunuh wanita tersebut. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada pukul 5.45 petang, 12 September lalu di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Permai, dalam daerah Melaka Tengah.

Difahamkan, sebelum kejadian, tertuduh pulang ke rumah dan mahu meminjam kereta Proton Saga dan motosikal Modenas, namun tidak dibenarkan ibunya kerana pemuda itu suka menjual barangan di rumah dan mabuk.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kedua-kedua pertuduhan, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah itu dikurangkan dengan alasan tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN