KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini menyaksikan satu lagi sejarah penting apabila Thailand dan Kemboja bersetuju untuk memeterai Perjanjian KL Accord bagi melaksanakan genjatan senjata, sekali gus mewujudkan pendamaian di sempadan kedua-dua negara.
Pemeteraian perjanjian damai itu ditandatangani antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam satu majlis khas yang turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bertindak sebagai Pengerusi ASEAN. Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, pemeteraian KL Accord turut memberi tumpuan kepada penubuhan pasukan pemerhati ASEAN yang akan ditempatkan di kawasan bergolak antara kedua negara.
Difahamkan, antara kandungan KL Accord ialah pelaksanaan genjatan senjata dikekalkan selain kedua negara perlu mengundurkan senjata berat dari kawasan terlibat.
Selain itu, menerusi perjanjian itu, kedua-dua negara juga perlu melakukan usaha memusnahkan periuk api yang ditanam di kawasan sempadan. – KOSMO! ONLINE














