KUALA LUMPUR – Seorang anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) cedera selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah pacuan empat roda ketika sedang mengiring delegasi antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 petang di Kilometer 22.3 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) itu, mangsa berusia 35 tahun berpangkat Koperal menunggang motosikal jenis Kawasaki GTR milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata anggota berkenaan mengalami patah betis kiri serta cedera di pergelangan kaki dan lutut.“Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Yusri turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mematuhi arahan pergerakan konvoi sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Sebelum itu, tular satu rakaman video memaparkan motosikal anggota polis berkenaan dilanggar sebuah Toyota Hilux di laluan kiri lebuh raya terbabit. – KOSMO! ONLINE














