JELI – Hajat dua lelaki untuk meraih keuntungan hasil jualan sebanyak 759 kilogram (kg) daun ketum di Kelantan tidak kesampaian apabila mereka dicekup di tepi jalan Kampung Kulim, di sini semalam.
Kedua-dua lelaki itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi semasa menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, unit kereta peronda polis mendapati sebuah MPV dari arah sebuah sebuah stesen minyak di sini menghala ke Ayer Lanas dipandu dalam keadaan mencurigakan. Menurutnya, anggota polis menggunakan pembesar suara dan membunyikan siren lampu beacon untuk mengarahkan MPV dinaiki kedua-dua suspek berhenti di tepi jalan Kampung Kulim di sini.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu membawa kepada penemuan sebanyak 69 bungkusan plastik berwarna hitam yang berisi 759 kg daun ketum.
“Selain itu, polis turut menjumpai satu botol minuman yang mengandungi 600 mililiter air ketum,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Kamarulzaman memberitahu, semakan mendapati, kedua-dua suspek masing-masing mempunyai satu rekod jenayah dan satu rekod dadah.
Menurutnya, selain itu, kedua-dua suspek yang positif dadah jenis ketamin ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














