MEMORI tawa kecil di pangkuan ibu, riuh tangisan adik-beradik dan kedamaian saat bapa melangkah masuk ke pintu terpadu dalam setiap helaian koleksi Silam.
Ia bukan sekadar pakaian, ia adalah puisi yang bergerak, gema emosi yang dijahit rapi ke dalam tekstur, lapisan dan warna.
Di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 baru-baru ini, Zaimi Zulkafli mempersembahkan bukan hanya busana tetapi cerita hidup mengajak penonton merasai setiap helaian sebagai naratif peribadi dan universal.
Menurut pereka berusia 36 tahun itu, koleksinya itu menampilkan 24 helaian termasuk empat rekaan untuk lelaki.
“Proses itu meliputi pencarian ilham, penyelidikan konsep dan penyiapan setiap complete look bagi memastikan setiap rekaan mempunyai jiwa karakter dan kedalaman yang tersendiri.
“Berbeza dengan karya terdahulu yang menekankan busana pengantin atau efek dramatik, Silam lebih introspektif membawa penonton ke dalam rasa perasaan yang lahir daripada memori masa lalu,” katanya kepada CitaRasa.
Salah satu busana sarat emosi peribadinya diperagakan oleh selebriti tersohor tanah air, Nur Fazura yang menampilkan gambar kenangan bersama arwah bapanya, Allahyarham Sharifuddin Adnan di London.

Busana tersebut menggunakan teknik digital printing pada fabrik bagi memancarkan memori paling berharga bagi selebriti yang telah kehilangan bapanya sejak tahun 2000.
Ia menjadi satu injeksi emosi luar biasa, diperkaya dengan layering lace dan organza yang mencipta nuansa nostalgia. Taburan manik halus dan tona putih pula memberi simbolik kepada kehidupan baharu yang lebih tenang dan bermakna.
Mengulas mengenai cabaran utama yang dihadapinya sepanjang menghasilkan koleksi tersebut, pereka kelahiran Negeri Sembilan itu berkata, permainan warna hitam dan putih bukan signaturnya.
“Cabaran utama ialah apabila kami memilih untuk bekerja dengan palet hitam dan putih yang bukan warna signatur Zaimi Zulkafli.
“Ia memaksa kami keluar dari zon selesa dan bermain dengan kontras dan tekstur bagi memastikan setiap helaian tetap memiliki jiwa dan karakter tersendiri.
“Putih melambangkan kepolosan, ketenangan dan kemurnian, manakala hitam membawa lapisan makna yang lebih mendalam tentang kehilangan, kekuatan dan kebisuan yang membentuk siapa kita hari ini.
“Gabungan dua warna ini bukan sekadar estetika, tetapi simbol perjalanan emosi dari kegelapan menuju cahaya, dari kehilangan menuju ketenangan,” katanya.
Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, dia banyak bereksperimen dengan gabungan fabrik lembut seperti organza, renda, dan satin matte untuk mencipta dimensi dan bayangan yang berlapis, seolah-olah menggambarkan memori yang datang dan pergi.
“Ada corak bunga, ada elemen abstrak, ada samar, ada jelas. Semua itu menggambarkan lapisan pengalaman dan kenangan yang membentuk jati diri seseorang,” kata Zaimi.














