KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan pujian terhadap tindakan berani Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam memastikan keamanan global dikekalkan meskipun langkah itu dilihat mustahil dilaksanakan.
Berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Antara Kemboja dan Thailand, Anwar berkata, pada masa sama beliau juga menyeru agar perkara sama dapat dilaksanakan di Gaza bagi memastikan keamanan berkekalan.
“Kita berterima kasih kepada Presiden (Trump) atas usaha untuk menjaga keamanan di banyak bahagian dunia termasuk Gaza dan mengajaknya tetap fokus serta memastikan keamanan terus diperlukan dunia.
“Saya gembira Presiden mendengar secara peribadi dan begitu bersemangat memastikan keamanan diterima di kawasan yang paling bergolak iaitu yang hampir mustahil mencapai keamanan, tetapi anda melakukannya,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut menzahirkan rasa kagum terhadap semangat dan keyakinan Trump dalam mewujudkan usaha damai meskipun di kawasan yang dianggap hampir mustahil untuk didamaikan.
Selain itu, Perdana Menteri juga menyifatkan dunia kini memerlukan komitmen dan keberanian politik bagi memastikan keamanan sejagat termasuk di Gaza dikekalkan.
“Untuk mencapai keamanan itu, kita perlu melanggar protokol. Sebaik sahaja Presiden terima dan menaiki kereta bersama, saya berkata ini adalah jalan dalam mencapai keamanan dan protokol dan beliau (Trump) teruja untuk melanggar protokol tersebut.
“Kami berkongsi banyak perkara bersama dan yang penting adalah perjanjian keamanan dan mereka memahami keperluan untuk menjaga keamanan dan juga kedudukan ASEAN memelihara keamanan,” katanya.
Terdahulu, Anwar dan Trump menyaksikan pemeteraian damai antara Kemboja-Thailand seterusnya memastikan konflik pertikaian sempadan antara kedua-dua negara dimuktamadkan. -KOSMO! ONLINE














