WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Donald Trump merancang untuk menyalurkan derma AS$130 juta (RM549 juta) daripada seorang penyokongnya bagi membayar gaji anggota tentera semasa penutupan kerajaan, lapor saluran berita CNN semalam.
Menurut Jabatan Perang Amerika Syarikat (Pentagon), sumbangan itu diberikan oleh penyokong Trump yang namanya tidak didedahkan kepada umum.
“Derma ini dibuat dengan syarat ia digunakan untuk menampung kos gaji dan faedah anggota tentera,” kata jurucakap utama Pentagon, Sean Parnell dalam satu kenyataan kepada CNN.
Beliau berkata, wang tersebut diterima di bawah kuasa penerimaan hadiah umum jabatan berkenaan.
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) ditutup sejak 1 Oktober lalu selepas kebuntuan berlaku dalam rundingan bajet antara parti pemerintah, Parti Republikan dan Parti Demokrat yang menjadi pembangkang.
Parti Republikan dan Demokrat saling menuding jari kerana kebuntuan tersebut yang menjejaskan ratusan ribu kakitangan kerajaan dan jutaan rakyat Amerika.
Derma tersebut menandakan penyimpangan ketara daripada prosedur kerajaan dalam membiayai gaji anggota tentera yang secara tradisinya bergantung pada dana awam.
Tindakan itu juga menimbulkan persoalan mengenai identiti penderma dan motif di sebalik pemberian sumbangan besar tersebut kepada kerajaan AS.
Sumbangan sebanyak AS$130 juta itu dijangka tidak memberi kesan signifikan untuk menampung gaji kira-kira 1.3 juta anggota tentera aktif.
Ini kerana jumlahnya hanya bersamaan kira-kira AS$100 (RM422) bagi setiap askar. – AFP/ AGENSI














