PETALING JAYA– Presiden Republik Persekutuan Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, hari ini disambut dengan penuh istiadat kebesaran di Dataran Perdana, Putrajaya sempena lawatan rasminya ke Malaysia.
Istiadat sambutan rasmi itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta barisan Jemaah Menteri.
Lawatan bersejarah itu amat bermakna kerana Presiden Lula hadir sebagai Tetamu Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, sekali gus memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brazil.
Menurut Ahmad Zahid, kedua-dua negara yang sedang pesat membangun itu berkongsi aspirasi sama dalam pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan dan pelaburan, semikonduktor, sains dan teknologi, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, pertanian, kesihatan serta pendidikan.
“Insya-Allah, kunjungan ini akan membuka lembaran baharu kerjasama strategik Malaysia–Brazil, seiring dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperluas jaringan antarabangsa dan memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas global,” katanya melalui satu kenyataan di media sosial.- KOSMO! ONLINE.














