SEPANG – Biarpun muncul antara yang menyerlah ketika ini, namun Marco Bezzecchi enggan meletakkan dirinya sebagai pelumba paling hebat di Grand Prix (GP) Malaysia.
Pelumba Aprilia itu menegaskan dia masih belum mencapai tahap konsisten yang diperlukan untuk menjadi pesaing utama biarpun kini menghuni tangga ketiga keseluruhan.
“Saya tidak rasa diri sebagai pelumba paling kuat kerana saya bukan pendahulu kejuaraan.
“Dalam sukan ini, kelebihan hanya muncul apabila anda mampu kekal berada di prestasi terbaik setiap masa dan saya belum sampai ke tahap itu,” kata Bezzecchi.
Bezzecchi tampil cemerlang apabila memenangi dua perlumbaan sprint terakhir dan berpeluang melakar hatrik di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini, namun tetap berhati-hati terhadap jangkaan tinggi terhadapnya.
“Kami sangat kompetitif dalam dua pusingan terakhir, tetapi setiap litar berbeza. Saya gembira berada di sini kerana sekurang-kurangnya kami ada sedikit rujukan daripada sesi ujian. Ketika itu kami agak bergelut, jadi saya ingin tahu bagaimana reaksi motosikal kali ini.
“Kami bekerja keras sejak awal musim dan pasukan telah melakukan banyak penambahbaikan. Bagi saya, peningkatan paling besar adalah kestabilan ketika membrek. Itu benar-benar membantu gaya tunggangan saya,” katanya.
Mengulas mengenai baki tiga perlumbaan musim ini, Bezzecchi berkata, tumpuannya bukan pada kiraan mata, sebaliknya usaha mengekalkan aksi konsisten lpada setiap perlumbaan.
“Tempat ketiga penting, tetapi itu bukan keutamaan. Matlamat sebenar kami adalah untuk kekal kompetitif setiap masa. Pecco (Francesco Bagnaia) sangat kuat dan berpengalaman, jadi kami perlu terus fokus dan bekerja ke arah yang betul,” jelasnya. – AGENSI














