PETALING JAYA – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersedia untuk menerima apa juga kritikan daripada mana-mana pihak yang mahu menyalahkannya dalam isu dokumentasi tujuh pemain warisan dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sambil mengharapkan yang terbaik buat Harimau Malaya, Tunku Mahkota Ismail sentiasa akan bersikap terbuka untuk menerima apa juga persepsi daripada pihak luar walaupun ia bersifat negatif.
“Saya berharap selepas ini, kita akan berjuang dan mengharapkan yang terbaik buat pasukan kebangsaan, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan juga pemain yang tidak bersalah. Saya harap satu hari nanti mereka dapat mewakili negara mereka.
“Lagi sekali saya ingin ulang untuk kali terakhir, tuan-tuan dan puan-puan, jikalau ia membantu anda untuk tidur lena setiap malam untuk mempersalahkan saya dalam isu ini, saya terima dengan hati terbuka. Terima kasih,” katanya.
Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan terbabit dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Pemain terlibat ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
FAM juga sudah pun mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dan keputusan berkaitan dijangka akan diumumkan Khamis ini. – KOSMO! ONLINE














