PETALING JAYA – Keputusan menggantung Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman ekoran isu dokumentasi tujuh pemain warisan adalah tidak patut.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan semua pihak bertanggungjawab dalam projek pasukan kebangsaan perlu turut sama mengambil tanggungjawab.
“Saya tidak bersetuju. Secara jujurnya, saya rasa penggantungan terhadap Setiausaha Agung FAM tidak patut. Saya tidak setuju dengan tindakan itu.
“Bagi saya, semua pihak perlu memikul tanggungjawab ini. Termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (pasukan kebangsaan, Rob Friend) dan semua yang terlibat,” katanya pada sidang media hari ini.
Bagaimanapun Tunku Mahkota Ismail menjelaskan baginda tidak berminat untuk menuding jari atau mencari salah mana-mana pihak sebaliknya lebih fokus kepada mencari penyelesaian terbaik.
“Secara jujur, saya tidak berminat bermain ‘permainan menyalahkan’, kita di sini untuk mencari penyelesaian. Saya tidak berminat untuk menyalahkan sesiapa, tetapi saya mahu cari jalan bagaimana kita boleh selesaikan perkara ini,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram memaklumkan Noor Azman digantung serta-merta susulan isu dokumentasi tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.
Dalam penjelasan sebelum ini, FAM menyatakan berlaku kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen membabitkan tujuh pemain berkenaan yang dilakukan seorang pegawai pentadbiran malah tidak menolak kemungkinan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya rayuan di peringkat FIFA tidak memihak kepada Malaysia. – KOSMO! ONLINE














