TUMPAT – Luluh hati seorang ibu apabila melihat mayat anak dalam keadaan berlumuran darah selepas ditetak dengan sebilah parang oleh anak saudaranya di depan rumah di Kampung Kok Bedullah, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam itu, mangsa, Mohd. Suhairi Hashim, 46, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah dan putus lengan kiri.
Ibu mangsa, Wan Salma Wan Said, 68, berkata, dia bergegas keluar dari rumah selepas terdengar anaknya beberapa kali mengerang kesakitan. Menurutnya, dia ketika itu bersama cucunya berusia empat tahun yang merupakan anak perempuan kepada Mohd. Suhairi sedang bersiap untuk tidur di dalam bilik.
“Saya kemudian bergegas keluar dari rumah dan melihat suspek iaitu anak saudara saya sedang berdiri berhampiran Mohd. Suhairi yang sudah tidak sedarkan diri.
“Dalam keadaan berdiri, dia menunjukkan ke arah anak saya dan mengatakan ‘aku buat anak mu sebab anak mu viral gambar anak aku sebelum ini’,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Kok Bedullah, di sini hari ini.
Wan Salma memberitahu, suspek kemudian mengambil parang sebelum bergerak pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari situ. – KOSMO! ONLINE














