KUALA LUMPUR – Undang-undang antarabangsa dan peraturan global kini semakin tertekan sekali gus ASEAN tidak boleh ‘menutup mata’ terhadap konflik di luar perairan rantau ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, misalnya selama dua tahun kebelakangan ini, dunia telah menyaksikan penderitaan luar biasa rakyat Palestin di Gaza.
Menurutnya, tragedi tersebut menyebabkan kehilangan nyawa secara besar-besaran, perpindahan penduduk dan kemusnahan maruah serta harapan penduduk Gaza. “ASEAN menyambut baik usaha menamatkan keganasan di Gaza, melalui fasa pertama Pelan Komprehensif Menamatkan Konflik Gaza yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Perkembangan ini merupakan langkah penting ke hadapan. Kita berharap ia akhirnya akan membawa kepada hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Mohamad berkata, pergolakan politik global juga akan terus memberi kesan kepada rantau ASEAN pada tahun-tahun mendatang.
“Dalam suasana antarabangsa yang semakin dikuasai oleh persaingan berbanding konsensus, ASEAN kini berada di persimpangan. Ruang berkecuali dan peranan pusat ASEAN semakin sempit, khususnya dalam perdagangan, teknologi dan keselamatan serantau.
“Seperti yang saya nyatakan pada awal kepimpinan Malaysia dalam ASEAN, kita mesti menjadi penutur, bukan yang dituturkan. Ini akan menjadi cabaran utama ASEAN dalam tahun-tahun mendatang yang penuh ketidaktentuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














