SHAH ALAM – Terdapat segelintir pemegang tauliah di Selangor dikesan mengajar di luar kategori dibenarkan yang dikhuatiri boleh menjejaskan imej dakwah dan mengelirukan masyarakat.
Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, pihaknya menerima aduan daripada kariah dan tindakan itu menunjukkan sikap tidak profesionalisme untuk mengajar bukan dalam kepakaran mereka.
Katanya, lebih membimbangkan, terdapat kecenderungan segelintir pemegang tauliah kepada fahaman yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. “Sebagai contoh, pemegang tauliah M2-B yang sepatutnya mengajar asas Iqra, namun menyampaikan pengajian berkitab yang dikhususkan kepada kategori M1.
“Perbuatan itu bukan sahaja menjejaskan imej dakwah dan keyakinan masyarakat terhadap institusi agama, malah boleh membawa kepada tindakan penggantungan atau penarikan balik tauliah mengajar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Itjimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor di sini hari ini.
Menurut beliau, keadaan itu mungkin berlaku apabila pendengar mengajukan soalan tertentu sehingga penceramah tersasul atau menyampaikan perkara di luar bidang kepakarannya.
Katanya, pihaknya tidak berniat untuk mengekang kebebasan penceramah, sebaliknya mahu mengelakkan hal itu menjadi perdebatan terbuka hingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat dan tular seterusnya menghentam institusi agama.
“Kita mahu mengharmonikan sebab tanggungjawab pendakwah ini besar terutama kepada anak muda. Jika dibiarkan mungkin golongan itu mudah terpesong dan terpengaruh dengan sesuatu fahaman yang dibawa penceramah,” katanya.
Justeru MAIS dan Jabatah Agama Islam Selangor akan memperkenalkan Modul Pengukuhan dan Profesionalisme Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor yang akan diguna pakai pada tahun depan kepada pemegang tauliah mengajar yang baru diluluskan.
“Kita harap dengan modul ini dapat membawa penceramah kembali jalan yang betul,” katanya.
Dalam pada itu, Salehuddin berkata, terdapat seramai 5,572 penceramah diperakui sebagai Pemegang Tauliah Negeri Selangor setakat ini.
“Di Selangor, kita kawal dan mereka yang tiada tauliah memang tidak boleh mengajar. Kalau ada pun satu dua insiden kita akan ambil tindakan terhadap jawatankuasa dan nazir masjid,” katanya. – KOSMO! ONLINE














