Dalam masyarakat yang sering menilai penderaan rumah tangga melalui luka fizikal dan jeritan trauma, satu bentuk keganasan yang lebih senyap, namun tidak kurang kejam terus berleluasa iaitu cold violence atau keganasan dingin.
Cold violence tidak melibatkan tangan yang mencederakan atau suara yang menengking, tetapi hadir dalam bentuk keengganan berkomunikasi, penolakan kasih sayang, serta pengabaian emosi secara berpanjangan.
Berbeza daripada penderaan fizikal yang mudah dikesan dan dilaporkan, cold violence berselindung di sebalik alasan seperti penat, tidak mahu bergaduh atau mahu beri ruang menjadikannya sukar dibuktikan, malah lebih sukar dibela.
Realitinya, cold violence boleh meninggalkan kesan psikologi yang sama parah atau lebih teruk daripada penderaan fizikal. Bersama Wartawan Kosmo! Ahad, Nurul Izzati Zaini menemu bual Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali bagi mengupas isu tersebut.
KOSMO! AHAD: Apakah yang dimaksudkan dengan cold violence dalam rumah tangga?
SUZANA GHAZALI: Cold violence biasa dikenali sebelum ini dengan silent treatment adalah tindakan sengaja mendiamkan diri atau menghindari pasangan dalam satu tempoh tertentu.
Ada beberapa kes berlarutan bertahun-tahun lamanya disebabkan masing-masing tidak mahu mengalah.
Bagaimana cold violence boleh terjadi?
Ia terjadi apabila pasangan sama ada suami atau isteri bertindak diam, membatukan diri, tidak bercakap atau membalas percakapan termasuk tidak memberikan sebarang bentuk respons bahasa badan.
Dalam erti kata lain, keadaan yang membuatkan pihak satu lagi berasa seolah-olah si dia tidak wujud.

Apakah ciri-ciri hubungan cold violence dalam hidup berumah tangga?
Kata mudah adalah ‘ada tetapi tiada’. Mereka boleh hidup serumah, malah sebilik tapi keadaan seolah-olah tiada. Tiada sebarang bentuk komunikasi, perbincangan dan kemesraan.
Dalam sesetengah keadaan, suami yang melakukan cold violence ini masih membiayai keperluan rumah tangga termasuk barangan keperluan harian.
Namun, ada juga suami akan menghentikan biaya menyebabkan isteri yang kebanyakan suri rumah perlu berusaha sendiri mencari wang bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Dalam kebanyakan kes juga, suami masih mahukan layanan intim semata-mata dan itu sahaja petunjuk bahawa si wanita masih bersuami.
Kebiasaannya antara suami atau isteri yang mana lebih ramai mengamalkan cold violence dalam rumah tangga?
Pengalaman saya mengendalikan kes berkaitan rumah tangga lebih 27 tahun, lebih ramai suami yang mengamalkan cold violence dalam kehidupan berkeluarga.
Antara sebab utama adalah ego seorang suami. Para suami sentiasa berasa dirinya betul dan boleh buat apa sahaja sebagai ketua keluarga.
Selain itu, mereka sentiasa menganggap tindakan tersebut adalah sebagai cara untuk mengajar isteri.
Sebab lain termasuklah suami lebih cenderung ingin isteri merayu dan mahukan wanita tersebut mengaku salah walau bukan salahnya.
Suami melakukan cara yang tidak betul kerana yakin tindakan mereka itu tepat. Sedangkan dalam Islam, jika ingin mengajar isteri mestilah dengan teguran dan bimbingan sewajarnya.
Apakah kesannya terhadap rumah tangga?
Sesebuah rumah tangga sukar atau tidak akan bahagia sebab tiada kemesraan, tiada perbincangan serta pihak yang diabaikan akan rasa tidak dipedulikan.
Pasangan yang diabaikan juga akan tertanya-tanya apa yang tidak kena, menyalahkan diri sendiri tanpa pasti dan paling malang apabila anak-anak yang menjadi mangsa.
Ini disebabkan ramai pasangan yang dalam keadaan cold violence ini akan mempergunakan anak-anak sebagai alat bantuan komunikasi.
Berapa banyak anggaran kes cold violence yang puan kendalikan dalam tempoh setahun?
Setiap minggu akan ada purata 15 kes baharu dan daripada 15 kes ini, biasanya paling kurang lima kes melibatkan cold violence.














