fbpx
Imigresen ketika melakukan operasi khas menyelamatkan warga asing di sekitar Petaling Jaya, semalam. - FOTO IHSAN JIM

Sindiket pemerdagangan tumpas, 40 wanita Indonesia diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia berselindung di sebalik agensi pekerja asing selepas menyelamatkan seramai 40 wanita warga Indonesia dalam operasi khas di sini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan empat individu iaitu seorang wanita tempatan serta tiga warga Indonesia masing-masing lelaki dan perempuan berusia antara 28 hingga 50 tahun.

“Kesemua mangsa yang diselamatkan berusia antara 21 hingga 51 tahun dan dipercayai telah berada di Malaysia antara satu hingga tujuh tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, sindiket berkenaan disyaki menipu mangsa dengan tawaran pekerjaan termasuk menguruskan pas kerja yang sah serta menjanjikan gaji tinggi.

“Namun sebaik tiba di Malaysia, mangsa ditempatkan di rumah-rumah yang disediakan sindiket.

“(Mangsa) diarahkan bekerja sebagai pembantu rumah harian atau pekerja pembersihan tanpa Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah termasuk tidak menerima gaji yang dijanjikan,” ujarnya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan turut menyimpan pasport dan mengawal pergerakan mangsa termasuk menghantar dan mengambil mereka dari tempat kerja bagi mengelakkan cubaan melarikan diri.

“Tindakan ini dipercayai dilakukan oleh agensi pekerjaan asing yang bersekongkol dengan majikan tertentu.

“JIM tidak menolak kemungkinan terdapat majikan yang bekerjasama dengan agensi tersebut bagi tujuan memohon pembantu rumah atas nama mereka sebagai balasan atau untuk mengaut keuntungan,” jelasnya.

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita 12 pasport Indonesia yang bukan milik mangsa, dipercayai milik individu lain yang pernah diuruskan sindiket sama.

Zakaria berkata, kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Kesemua mangsa ditempatkan di Rumah Perlindungan selepas diberikan Perintah Perlindungan Interim (IPO),” katanya.

Menurutnya, operasi dijalankan oleh pegawai Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM, berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 bagi mengenal pasti mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN