SEREMBAN – Seorang pemandu jengkaut terpaksa meringkuk dalam penjara selama lima tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun di dalam bas Isnin lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Gunah, 47, selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh, rayuan dan hujahan pemberatan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara itu berjalan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Oktober lalu. Lelaki itu turut diperintah menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama setahun.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu ke atas mangsa berusia 16 tahun satu bulan dengan cara menyentuh paha dan lengan bagi tujuan seksual pada pukul 4 petang ketika dalam perjalanan dari Tampin ke Rembau di sekitar Bongek pada 20 Oktober lalu.
Berdasarkan fakta kes, ketika menaiki bas, mangsa didatangi tertuduh yang mahu bersalam dengannya, namun remaja tersebut menolak kerana perbuatan itu haram.
Tertuduh kemudian memaksa mangsa memberikan nombor telefon. Mangsa turut dimaki oleh tertuduh dengan menggunakan perkataan lucah sebelum lelaki itu menghampiri dan menyentuh paha serta lengan remaja berkenaan. – KOSMO! ONLINE














