ALOR SETAR – Sekurang-kurangnya 15 kampung di lima daerah di negeri ini dilanda banjir ekoran hujan lebat berpanjangan semalam.
Lima daerah yang terjejas setakat ini ialah Bandar Baharu, Kulim, Baling, Sik dan Pendang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, banjir berlaku kira-kira pukul 7 malam semalam selepas hujan lebat melebihi empat jam. “Kampung yang terjejas ialah Kampung Terap Dalam, Kampung Sungai Tengas, Kampung Sungai Punti, Kampung Batu 16 Lombong A dan Kampung Cherok,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad memberitahu, semua agensi sedang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa banjir dan menempatkan mereka di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Lima PPS akan dibuka iaitu di Taman Sang Kancil, SMA Insaniah, Dewan Surau Kampung Paya Tok Betok, Pekan Karangan dan SK Pagar Museh,” ujarnya.
Di Baling, antara kawasan terjejas adalah Kampung Bukit Sebelah, Kampung Badang dan Kampung Paya Menora.
Sementara di Sik antaranya Gulau dan Jeniang, manakala Pendang di Kampung Baru dan Sungai Tiang. – KOSMO! ONLINE














