BALIK PULAU – Seorang fasilitator mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik di sini hari ini atas tiga tuduhan mencabul kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ketika menyertai program motivasi dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Firdaus Abdul Shukor, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di Kem White Resort, Kampung Genting di sini pada pukul 4.09 hingga 4.30 pagi, 12 Oktober lalu. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 14(d) akta sama. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim mengarahkan kes itu dirujuk ke Mahkamah Sesyen untuk proses jaminan termasuk lantikan peguam dan menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 16 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan polis menahan suspek yang merupakan fasilitator jemputan selepas didakwa mencabul mangsa ketika menyertai satu program motivasi anjuran sekolah.
Suspek dikatakan melakukan perbuatan terkutuk tersebut ketika mangsa sedang tidur di dalam dorm (bilik) yang menempatkan murid lelaki.
Mangsa hanya menceritakan kejadian itu kepada guru besar selepas pulang dari kem berkenaan sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Bagan Serai, Perak. -KOSMO! ONLINE














