BERA – Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut dalam pangkuan ibunya selepas kereta dinaiki tiga sekeluarga itu terbabas akibat melanggar sekumpulan lembu di Kilometer 49 Jalan Kerayong–Simpang Kepayang di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9,40 malam itu, mangsa iaitu Nur Adriana Amira Mohamad Norismail disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Bandar 32.
“Siasatan awal mendapati semasa kejadian kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu bapanya, berusia 22 tahun dari arah Kepayang menuju ke Kerayong dipercayai keluar untuk membeli susu bayi mereka.
“Namun, apabila tiba di tempat kejadian, sekumpulan lembu tiba-tiba keluar dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan tersebut sebelum kenderaan terbabas ke bahu jalan,”katanya di sini hari ini.
Menurut Zulkiflee ibu mangsa yang sedang memangku bayinya di tempat duduk penumpang depan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan bayi berkenaan turut mengalami kecederaan manakala pemandu tidak cedera.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Bera untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- KOSMO! ONLINE














