KUALA LUMPUR – Ramai pemimpin dan ketua negara mula tiba di negara ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hujung minggu ini.
Antara yang dijangka tiba ialah Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva bersama isteri Rosangela Lula da Silva, Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa dan isteri Dr. Tshepo Motsepe, serta Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmao.
Ketibaan mereka disertai Menteri Luar Finland, Elina Valtonen, Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn dan isteri Khen Rany, Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas, Menteri Luar Indonesia, Sugiono serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Djamari Chaniago.
Seterusnya, pemimpin dunia lain yang dijangka berhimpun hujung minggu ini termasuklah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri China, Li Qiang, Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi.
Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ dijangka menjadi antara terbesar dalam sejarah ASEAN.
Acara kali ini bakal menyaksikan penyertaan aktif Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN yang dijangka dimuktamadkan pada sidang kemuncak dijadualkan 26 Oktober ini.
Seterusnya, mesyuarat berkaitan yang berlangsung pada Sidang Kemuncak ASEAN antaranya ketika ekonomi global berdepan tekanan ekoran langkah tarif oleh Amerika Syarikat.
Sementara itu, mesyuarat utama minggu ini termasuklah Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-26 yang memberi tumpuan kepada Pelan Tindakan AEC 2025, dan Mesyuarat Pakar+4 Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF).
Ia akan membincangkan strategi untuk menghadapi cabaran ekonomi dan perdagangan global yang semakin mencabar. – KOSMO! ONLINE














