fbpx
12 peserta terbaik daripada Klinik STL berpeluang merasai pengalaman beraksi di pentas STL musim depan.

12 peserta terbaik bakal timba pengalaman STL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 12 pemain muda terbaik Kem Final Klinik Liga Sepak Takraw (STL) bakal membuka lembaran baharu apabila tersenarai dalam perancangan awal untuk diberi peluang menimba pengalaman bermain di pentas berprestij itu pada musim akan datang.

Kem final selama lima hari baru-baru ini menghimpunkan 40 peserta terbaik yang telah disaring sejak sesi pemilihan awal diadakan pada Mei lalu.

Sepanjang kem, para peserta dibimbing oleh jurulatih-jurulatih kebangsaan menerusi modul latihan intensif yang merangkumi aspek teknikal, taktikal serta pembentukan jati diri dengan matlamat melahirkan pemain berkaliber dan berdaya saing tinggi di masa hadapan.

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan menegaskan komitmen berterusan PSM dalam memperkukuh pembangunan bakat baharu melalui kerjasama strategik bersama rakan seperti Astro.

SUMALI (tengah) bersama barisan peserta yang mengambil bahagian dalam Klinik STL diadakan baru-baru ini.

“PSM sentiasa komited dalam memastikan bakat-bakat muda ini terus berkembang. Inisiatif bersama Astro menerusi Klinik STL bukan sahaja memberi pendedahan awal dan ilmu bermanfaat, malah menyediakan laluan jelas untuk mereka melangkah lebih jauh dalam sukan ini.

“Peserta yang menunjukkan potensi tinggi dari kem ini juga berpeluang menyertai kejohanan anjuran PSM seperti Kejohanan Remaja Kebangsaan dan pertandingan lain di masa hadapan sebagai kesinambungan kepada alumni Klinik STL,” katanya.

Kem final yang julung kali diadakan itu merupakan penutup kepada siri Klinik STL iaitu sebuah inisiatif kelestarian oleh Astro Kasih bersama Astro Arena untuk komuniti melalui program sukan yang menyokong pembangunan akar umbi sepak takraw di Malaysia secara aktif.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, Klinik STL merupakan bukti komitmen Astro dalam memperkukuh ekosistem sukan sepak takraw negara dari peringkat akar umbi hingga ke
pentas profesional.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kanan) menerima cenderamata daripada Nicholas John pada Klinik STL baru-baru ini.

Mereka kini sedang merangka pelan bagi memastikan 12 pemain terbaik itu dapat menyertai saingan STL di peringkat divisyen pada musim akan datang walaupun pelaksanaannya masih dalam peringkat perancangan awal.

“Penyertaan mereka mungkin bukan sebagai pemain utama, namun peluang untuk berlatih dan berada dalam kalangan pasukan profesional merupakan satu pengalaman yang amat berharga.

“Langkah ini dilihat sebagai usaha penting untuk memberi pendedahan kompetitif, membina keyakinan, dan membentuk disiplin berpasukan, sekali gus memberikan hala tuju yang jelas kepada para peserta selepas berakhirnya kem final.

“Kami mahu memastikan mereka tidak berhenti di sini. Pendedahan di peringkat kompetitif amat penting supaya mereka dapat terus berkembang dan menjadi sebahagian daripada barisan pelapis masa depan untuk sukan sepak takraw negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN