KUALA LUMPUR – Waran tangkap ke atas menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan telah dikeluarkan bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan SPRM sedang melaksanakan beberapa tindakan bagi membantu siasatan termasuk melalui kerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa.
“Semua sedia maklum bahawa beliau (Adlan) berada di luar negara. Kita telah mengambil tindakan yang sebelum ini orang ramai tidak tahu. Tindakan yang sedang dilaksanakan memerlukan bantuan dari negara berkaitan.
“Insya-Allah kita akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung permohonan tersebut.
Media sebelum ini melaporkan Adlan yang melarikan diri sejak lebih dua tahun lalu, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
“Mungkin SPRM boleh memberikan persoalan (penjelasan) itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














