fbpx
BEGUM dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memotong kemaluan kekasihnya serta tidak memiliki pasport, 8 Oktober lalu. Foto oleh BAZLAN IBRAHIM/KOSMO!

Wanita potong ‘anu’ kekasih didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warganegara Bangladesh yang ditahan selepas disyaki memotong kemaluan teman lelakinya dua minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Begum Masuma, 34, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail memandang tertuduh hanya memahami sedikit pertuduhan terbabit.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Begum yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas seorang lelaki, Babu Mondol, 33. Wanita itu menggunakan sebilah pisau iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah ke atas mangsa.

Perbuatan itu dilakukan Begum di sebuah rumah dekat kawasan setinggan belakang sebuah kilang di Gelang Patah di sini, kira-kira pukul 1 pagi, 8 Oktober lalu. Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zuhainie Zull Kafli memberitahu mahkamah kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin dan pihaknya juga tidak akan mencadangkan sebarang ikat jamin atas tiga alasan.

“Tertuduh adalah warga asing dan telah dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan tidak mempunyai sebarang dokumen sah untuk memasuki Malaysia. Ini juga kesalahan serius kerana mendatangkan cedera parah pada mangsa yang juga teman lelakinya dan mereka berdua tinggal serumah,”katanya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan perkhidmatan jurubahasa Bangladesh. Terdahulu, di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh didakwa sebagai seorang bukan warga Malaysia didapati tidak memiliki apa-apa pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang kepadanya untuk masuk ke negara ini.

Kesalahan itu dilakukan di pekarangan Balai Polis Gelang Patah di sini, kira-kira pukul 12.15 tengah hari, tarikh yang sama dan bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta sama. Tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Atifah Hazimah Wahab turut menolak pengakuan bersalah dibuat tertuduh kerana wanita itu dilihat seperti tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan kes juga akan disebut semula pada 11 November depan bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Bangladesh.

Pada 9 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan seorang wanita warga Bangladesh ditahan polis selepas bertindak kejam memotong kemaluan teman lelakinya akibat cemburu apabila mengetahui lelaki itu masih mempunyai isteri di negara asal.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI