BALIK PULAU – Penduduk Teluk Kumbar di sini terutama di Kampung Suluk dan Taman Sahabat mula mengambil langkah berjaga-jaga apabila kawasan kediaman mereka dikatakan mula dinaiki air ekoran hujan lebat sejak petang tadi.
Rata-rata penduduk ada yang dikatakan mula mengangkat perabot dan perkakasan elektrik di tempat yang lebih tinggi termasuk mengalihkan kenderaan di lokasi selamat.
Kawasan gerai penjaja di Tanam Sahabat juga dilaporkan sudah dinaiki air sedalam satu kaki (0.30 meter). Seorang penduduk, Muhammad Syazwi Noorazli, 24, berkata, air longkang mula melimpah menyebabkan air naik ke beberapa kediaman penduduk termasuk di Jalan raya dan gerai penjaja.
“Kami sudah mengalihkan kereta ke tempat yang lebih tinggi. Ketika ini, ada beberapa buah rumah di Kampung Suluk sudah dimasuki air,” katanya di sini, sebentar tadi.
Ketika ini, hujan lebat turun tanpa henti di kesemua daerah di negeri ini sejak petang tadi. -KOSMO! ONLINE