DALAM era digital masa kini, hampir setiap aspek kehidupan manusia dipermudahkan dengan teknologi. Sama ada membeli barangan harian, mendapatkan perkhidmatan mahupun menguruskan kewangan, semuanya boleh dilakukan melalui telefon pintar.
Industri automotif tidak terkecuali dan EON Capital Sdn. Bhd., sebuah syarikat Kumpulan DRB-HICOM Berhad, baru-baru ini muncul dengan platform digital pertama di Malaysia yang menawarkan penyelesaian pembiayaan automotif bersepadu, dipanggil Tras.
Mudah diakses menerusi tras.my, ia diperkenalkan sebagai satu perkhidmatan teknologi kewangan yang tertumpu kepada pembiayaan kenderaan, dengan matlamat mengubah cara rakyat Malaysia membeli dan melindungi kenderaan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif EON Capital, Kazrin Khairul Anuar berkata, Tras beroperasi dengan memahami realiti pasaran semasa, dengan lebih 90 peratus pembelian kenderaan di negara ini masih dilakukan menerusi bantuan pinjaman bank atau syarikat kewangan.
“Permohonan pembiayaan sering memakan masa, memerlukan pelbagai dokumen dan tambah menyulitkan, wujud isu keselamatan apabila dokumen peribadi dihantar melalui aplikasi mesej seperti WhatsApp tanpa kawalan.
“Inilah jurang besar yang mahu diisi Tras menerusi platform sehenti yang selamat, telus dan pantas untuk semua pihak baik pelanggan, pengedar kenderaan mahupun institusi kewangan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabatnya di Glennmarie, Shah Alam baru-baru ini.

Menerusi Tras, pengguna akan mendapat jawapan mengenai permohonan pembiayaan kenderaan mereka sepantas 30 minit sekiranya semua dokumen diperlukan lengkap.
Selain itu, dengan tiga rakan bank kerjasama iaitu Bank Muamalat, Maybank dan AmBank, pengguna boleh menghantar permohonan kepada ketiga-tiganya serentak untuk memilih tawaran pembiayaan yang terbaik.
Mungkin yang paling menarik, penyelesaian yang lebih moden ini disediakan secara percuma dan menawarkan kadar faedah yang kompetitif.
Menurut Kazrin, sejak pelaksanaan fasa percubaan kira-kira setahun lalu, platform berkenaan telah meluluskan kira-kira RM70 juta pembiayaan dan jumlah tersebut telah melonjak sejak pelancaran rasminya pada 9 September lalu.
Kadar purata setiap pembiayaan adalah kira-kira RM80,000, manakala kadar kelulusan pembiayaan pula tidak jauh daripada paras industri iaitu sekitar 50 peratus.
“Buat masa ini kami tidak menetapkan sebarang sasaran pelanggan yang spesifik kerana ingin memberi perkhidmatan kepada semua golongan.
“Pada masa sama, kami sangat menggalakkan pembeli kereta kali pertama untuk mencuba kemudahan ini,” katanya.
Pusat sehenti
Tidak sekadar menyediakan pembiayaan, Tras turut dilengkapi fungsi ‘CarCulator’ iaitu ciri pintar yang bukan sahaja mengira jumlah bayaran bulanan pinjaman kenderaan, malah mencadangkan model kenderaan yang sesuai dengan kemampuan kewangan pelanggan.
Selain itu, platform ini menawarkan pilihan perlindungan tambahan menerusi Program Waranti Lanjutan yang memberikan jaminan sehingga dua tahun selepas tempoh waranti pengeluar tamat.
Kazrin berkata, pihaknya merancang untuk menjadikan Tras bukan sahaja sebagai pintu masuk utama dan pusat rujukan kepada pinjaman kereta, malah sebagai rakan setia kewangan automotif sepanjang hayat pemilik kenderaan.
“Pada tahun pertama, kami akan fokus untuk mempromosikan Program Waranti Lanjutan atau dikenali sebagai Extended Warranty Program (EWP) ini buat kenderaan Proton dan jenama lain di bawah pengedaran Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) seperti Mitsubishi, Audi dan Volkswagen, sebelum memperluaskannya kepada jenama lain dengan pembentukan kerjasama baharu.
“Kami mempunyai visi jangka panjang untuk menawarkan pelbagai khidmat nilai tambah, termasuk produk insurans yang direka khusus mengikut keperluan pelanggan, serta penyelesaian baharu untuk pemilik kenderaan elektrik.
“Di bawah DRB-HICOM ada pengeluar motosikal nasional, iaitu Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) jadi kami juga berminat untuk meluaskan penawaran pembiayaan kepada motosikal dan sedang melihat rakan kongsi pembiayaan yang bersesuaian.
“Tras juga ingin memainkan peranan sebagai sebuah platform celik kewangan dengan penerbitan artikel, tips dan nasihat di platform kami bagi membantu pengguna membuat keputusan yang tepat dalam perjalanan automotif mereka,” ujarnya.
Enjin kredit
Manfaat Tras tidak terhenti setakat itu. Kazrin menjelaskan, pihaknya bukan sekadar memfokuskan kepada pelanggan yang sudah mempunyai rekod kewangan kukuh, sebaliknya mengambil pendekatan inklusif dengan membangunkan enjin kreditnya sendiri.
Katanya, menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan large language model (LLM), enjin ini bertujuan menilai kelayakan golongan yang sebelum ini sukar mendapat pembiayaan, seperti pekerja ekonomi gig, pemandu e-hailing dan penghantar makanan.
Walaupun mereka mungkin tidak mempunyai slip gaji tetap atau rekod kredit sempurna, Tras berusaha membangunkan algoritma yang mengambil kira data alternatif, termasuk corak pendapatan bulanan dan disiplin pembayaran komitmen kecil.
“Kami mampu melakukannya kerana kami fokus dan memiliki kepakaran dalam segmen automotif, satu kelebihan yang mungkin tidak ada pada penyedia pembiayaan lain.
“Terdapat pelbagai faktor luaran yang sebelum ini mungkin tidak diambil kira, namun mampu memberi kefahaman pelanggan yang lebih baik bagi menentukan skor kredit mereka. Misalnya dari segi tempat tinggal, mereka yang duduk di bandar kebiasaannya berdepan kos sara hidup lebih tinggi.
“Dengan mengambil kira kesemua faktor ini, lebih ramai rakyat Malaysia nanti akan berpeluang memiliki kenderaan, sekali gus membuka pintu mobiliti sosial yang lebih baik,” tambah Kazrin. -KOSMO! ONLINE














