DUNIA nasyid tanah air bakal menyaksikan detik bersejarah apabila kumpulan, The Zikr tampil dengan single terbaharu berjudul Mengemis Kasih hasil kolaborasi istimewa bersama Yabang, bekas vokalis kumpulan Khalifah.
Kemunculan semula The Zikr bukan sekadar sebuah pengisytiharan muzik, tetapi tanda kebangkitan semula satu legasi besar dalam industri nasyid Malaysia.
Lebih istimewa, single ini menandakan kembalinya suara emas nasyid moden, Nazrey Johani yang sinonim dengan era kegemilangan 1990-an.
Suaranya yang merdu dan penuh penghayatan telah membentuk identiti muzik dakwah tempatan sejak zaman Nada Murni, kemudian menerusi The Zikr dan Raihan.
Setelah melalui pelbagai fasa kehidupan termasuk cabaran kesihatan, Nazrey kembali dengan semangat baharu dan kekuatan luar biasa membawa sekali nostalgia, keaslian dan mesej ketuhanan yang menjadi nadi perjuangannya selama ini.
“Saya bersyukur dapat tampil kembali dalam industri bersama rakan-rakan lama The Zikr.
“Lagu ini diberi susunan muzik baharu supaya lebih segar, penuh harmoni dengan sentuhan moden.
“Bagaimanapun tidak menghilangkan roh ketuhanan yang menjadi teras lagu ini. Selain itu, penampilan istimewa Yabang turut mengindahkan lagi lagu ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Sementara itu, Syamsul Masri turut memberitahu kebangkitan semula The Zikr tercetus apabila mereka menyedari lagu-lagu kumpulan itu masih kekal diminati hingga kini, bukan sahaja di Malaysia malah di Thailand dan Indonesia.

“Lagu Antara 2 Cinta sangat popular di Indonesia. Kita tahu sejak beberapa tahun lalu Nazrey tidak lagi bersama Raihan.
“Selepas itu saya jumpa dia dan kumpul balik anggota The Zikr dan akhirnya kami bergabung semula pada 2023.
“Antara 2023 hingga 2025 kami menghasilkan dua single iaitu Antara 2 Cinta (2024), Dunia Baru Islam (2024) dan satu single baru bertajuk Kembali pada Mei lalu.
“Mengemis Kasih adalah single terbaharu kami. Kita buat balik The Zikr sebab lagu-lagunya orang masih dengar sampai sekarang,” katanya.
Lagu Mengemis Kasih secara rasmi dilancarkan pada 26 September menerusi saluran YouTube Rusa Islamic hasil kerjasama antara Smart Audio Music dan Rusa Islamic.
Video muziknya turut menampilkan Ustaz Amran, anggota asal The Zikr yang pernah bersama Raihan, menjadikan penampilan ini satu penghargaan kepada sejarah asal kumpulan dakwah legenda itu.
Kehadiran Ustaz Amran dalam video muzik bukan sekadar simbol nostalgia, tetapi mengingatkan peminat bahawa Raihan bermula daripada akar The Zikr iaitu dua nama besar yang berbeza hala tuju, namun berkongsi satu semangat dakwah yang sama.
Pihak pengurusan Nazrey Johani dan The Zikr yang diketuai oleh Mas Ayie Mas Omar turut mengumumkan penganjuran Konsert Eksklusif Mengemis Kasih yang bakal diadakan pada Januari 2026.