fbpx
Mohd. Na'im ketika ditemui selepas majlis Kemudi di Shah Alam hari ini. FOTO: AFIQ RAZALI

Penyakit jantung antara punca jemaah gagal terima tawaran haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Penyakit kronik seperti jantung dikenalpasti menjadi antara punca utama kepada tiga peratus bakal jemaah yang gagal menerima tawaran bagi menunaikan haji pada musim depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, penilaian kesihatan ketat perlu dilakukan termasuk mereka yang menghidap kencing manis, darah tinggi bagi memastikan hanya jemaah benar-benar sihat dibenarkan berangkat ke Tanah Suci.

“Berdasarkan pengalaman saya sendiri ketika menunaikan haji tahun ini, cuaca di Arab Saudi sangat panas dan hampir semua kes kematian dalam kalangan jemaah disebabkan kegagalan jantung. Jadi, aspek kesihatan sangat penting dan kita mahu pastikan keselamatan jemaah haji yang berangkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Konvensyen Mualaf Madani (Kemudi) Peringkat Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun memaklumkan kegagalan itu tidak bermakna bakal jemaah haji itu hilang peluang selama-lamanya.

“Jika mereka berusaha memperbaiki tahap kesihatan dan kembali layak, tawaran menunaikan haji akan diberikan semula pada masa depan.

“Tabung Haji (TH) sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan termasuk dalam menambah baik aspek saringan kesihatan ini. Jadi, kita berharap yang benar-benar sihat akan menunaikan ibadah haji,” jelasnya.

Ketika ditanya sama ada terdapat perubahan pada modul kursus haji susulan syarat baharu kerajaan Arab Saudi itu, Mohd. Na’im mengiyakannya selaras dengan perkembangan terbaharu itu.

“Oleh kerana penekanan diberikan oleh kerajaan Arab Saudi dalam memastikan jemaah ini sihat, sudah tentu modul haji dengan penekanan juga akan diberikan kepada isu kesihatan.

“Selain itu, sekiranya jemaah yang mempunyai penyakit kronik tidak diluluskan untuk menunaikan haji maka tiada lagi pengiring (di kalangan ahli keluarga seperti dilakukan sebelum ini),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN