fbpx
Kompleks Mahkamah Kota Bharu. - Gambar hiasan

Penganggur curi 39 buku agama, sejarah milik perpustakaan dijel 2 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang penganggur dipenjara dua bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri dan menyimpan 39 buah buku milik perpustakaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan perpustakaan swasta minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Farahimee Mohd. Ibrahim, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa mencuri 15 buah buku milik perpustakaan Maik di Pejabat Perpustakaan Maik yang digunakan sebagai tempat penyimpanan harta benda pada pukul 11.54 pagi, 13 Oktober lalu.

Buku-buku itu ialah Fiqhud-Da’wah: Jejak Risalah Dan Dasar Da’wah M. Natsir, Mengenal Hukum Hudud (Zina, Qazaf, Merompak Dan Minum Arak), Politik dan Pentadbiran Islam, Pengantar Sejarah Patani: Negeri Sitanjung Buang, Beberapa Aspek Pemikiran Al-Maududi, Islam dan Pembangunan Negara, Pembangunan Berteraskan Islam, Hak Asasi Menurut Islam: Sejarah Dan Konsepnya, Lari Dari Neraka Komunis, Some Implications Of Rapid Growth In Peninsular Malaysia, Kesan Mengingati Akhirat Terhadap Pembentukan Peribadi dan empat buku Forum Pembangunan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, bapa empat anak itu dituduh dengan curang menyimpan harta curi iaitu 24 buku milik Perpustakaan Nur Al-Zahra di sebuah rumah di Lorong Meranti, Jalan Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 5 petang, 14 Oktober lalu.

Buku-buku itu ialah Sejarah Tanah Melayu, Insafi Diri Menjelang Umur 40 Tahun, Sembahyang Tarawih Di Zaman Nabi, 313 Sabda Hikmat Warisan Nabi Muhammad, Contoh Wudhu Nabi S.A.W, Government And Politics In The Twentieth Century, Amalan Jampi Menurut Al-Sunnah dan Edward W. Said Peace & Its Discontents.

Selain itu, buku lain adalah Raja Zainal Raja Sulaiman,Teori Politik Al-Farabi, Ramuan Makanan Islam, The Return Of The Khalifate, Anuar Musa Didepan Api Di Belakang Duri, This Law Of Ours And Other Essays, Politik Islam Dan Kufur, Syed Syeikh Al-Hadi, Pengantar Undang-Undang Jenayah Islam dan Mana Gagah? turut berada dalam simpanan tertuduh.

Buku Plato Protagoras And Meno, Cabaran Malaysia Tahun Lapan Puluhan, A Short History Of The Revivalist Movement In Islam, Serangga Dan Manusia, DAP Melayu dan Pembinaan Hukum Islam juga merupakan harta curi dari perpustakaan tersebut. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shamsul Ikhmal Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad.

Terdahulu, Nik Nasrun Nazmi merayu tertuduh diberikan bon kelakuan baik atas faktor kesihatan, namun dibantah Muhammad Shamsul Ikhmal.

Rais Imran sebelum menjatuhkan hukuman itu menegur perbuatan tertuduh bahawa buku-buku tersebut merupakan harta benda awam dan tidak sepatutnya dicuri.

“Awak bukan sahaja menyusahkan orang. Apabila harta wakaf dan harta awam dicuri, manfaat ke atas orang ramai yang diniatkan oleh individu tertentu tidak dapat disampaikan,” katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi kedua-dua pertuduhan itu dan diarahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 14 Oktober lalu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kegiatan seorang lelaki menjual buku-buku curi dari perpustakaan milik agensi kerajaan Kelantan dan swasta di Facebook terbongkar apabila ditahan baru-baru ini.

Suspek yang ditahan kira-kira pukul 12.05 tengah malam mengaku melakukan perbuatan tersebut.

Lelaki itu mencuri dengan cara memasukkan bahan bacaan ke dalam bajunya sebelum meninggalkan premis pada pukul 11.54 pagi, 13 Oktober lalu. Pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Bharu menahan suspek di sebuah rumah di daerah ini.

Sebanyak 15 buku termasuk beberapa milik perpustakaan agensi tersebut dijumpai di rumah suspek. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI