TEL AVIV – Anggota-anggota Parlimen Israel semalam mengundi meluluskan dua rang undang-undang(RUU) untuk merampas wilayah Tebing Barat, rancangan yang dipromosikan secara terbuka oleh menteri-menteri berhaluan kanan Tel Aviv sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Sesi undian itu diadakan ketika Naib Presiden Amerika Syarikat(AS), JD Vance melawat Israel untuk mengukuhkan gencatan senjata Gaza tajaan Presiden Donald Trump. Presiden AS berkenaan sebelum ini menjelaskan beliau tidak akan menyokong rampasan Tebing Barat.
“Saya tidak akan membenarkan Israel merampas wilayah Tebing Barat,” kata Trump kepada pemberita di White House pada September lalu sambil menambah: “Perkara itu tidak akan berlaku.”
Media Israel melaporkan bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah meminta ahli-ahli parlimen partinya, Parti Likud untuk tidak mengundi pada sesi semalam.
Dalam satu kenyataan, Parti Likud menyebut bahawa sesi pengundian itu sebagai ‘satu lagi provokasi oleh pembangkang bertujuan untuk merosakkan hubungan Israel dengan Amerika Syarikat’.
Semasa bacaan awal semalam, ahli-ahli parlimen mengundi menyokong untuk meneliti dua RUU, bermaksud ia akan dibawa untuk bacaan selanjutnya di Parlimen Israel.
Teks pertama yang diluluskan oleh 32 ahli parlimen berbanding sembilan menentang, mencadangkan Israel merampas Maale Adumim di Tebing Barat dan rang undang-undang kedua mencadangan rampasan keseluruhan wilayah Palestin berkenaan.
Parlimen Israel yang dikenali sebagai Knesset mempunyai 120 ahli. – AFP