KUALA LUMPUR – Masih terlalu awal untuk membuat persediaan sambutan Hari Krismas pada bulan Disember ini tetapi secara kebiasaannya, hotel-hotel terkemuka di Lembah Klang kini mula menyusun strategi menghias premis masing-masing untuk menghangatkan suasana perayaan yang penuh dengan kegembiraan itu.
Inisiatif tersebut dapat dilihat pada Hilton Kuala Lumpur (KL) yang menganggap musim perayaan bukan sekadar satu musim tetapi ia adalah sambutan kebersamaan yang mahu mengajak ramai pengunjung dan tetamunya menikmati pengalaman menginap dan juga menjamu selera bersama keluarga, rakan dan juga orang tersayang.
Sebaik tiba di lobi mewah Hilton KL, semangat perayaan mula dirasai dengan hiasan yang memukau dan cahaya berkelipan selain dimeriahkan dengan kehadiran Rumah Roti Halia ikonik yang menjadi lokasi kegemaran pengunjung untuk merakamkan memori bersama.
Ini adalah masa yang bersesuaian untuk mereka yang suka meraikan hari bersejarah dan istimewa ini bersama keluarga, pasangan, dan rakan-rakan untuk berkumpul dan menikmati jamuan mewah di ruang acara hotel yang elegan dan unik selain memanfaatkan penginapan eksklusif.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kempen sempena sambutan Hari Krismas di Hilton KL akan berlangsung dari 1 November hingga 31 Disember ini dengan tawaran pengalaman menikmati makan mewah di restoran Vasco’s, Chynna, Iketeru, Graze, dan Oro.
Antara acara utamanya adalah sesi makan tengahari pada sambutan Hari Krismas yang menyajikan hidangan antarabangsa dan tempatan seperti prime rib daging lembu panggang, rusa panggang, kaki kambing dan ayam jumbo.
“Tetamu juga boleh menikmati Makan Malam Malam Krismas dengan makanan laut premium, stesen masakan secara langsung dengan pencuci mulut istimewa.
“Kemeriahan berterusan dengan Makan Malam Gala Malam Tahun Baru dan Makan Tengah Hari Hari Tahun Baru, masing-masing menawarkan pelbagai rasa untuk menyambut musim perayaan ala Hilton,” jelasnya.
Bagi mereka yang menginap khususnya di bilik suite, di hotel berkenaan melalui promosi yang berlangsung dari 1 November hingga 31 Disember ini, bilik tersebut terdapat pokok Krismas, stoking perayaan dan juga penghantaran kejutan oleh Santa pada Malam Krismas, Hari Krismas, dan juga Malam Tahun Baru.
Bagi mereka yang berkunjung ke hotel berkenaan untuk merasai pengalaman menjamu selera yang lebih istimewa dan unik, tawaran menu khas terdapat di Chynna, Iketeru, Graze, dan Oro yang menawarkan pengembaraan kulinari unik seperti masakan Cina mewah dan omakase Jepun.
Menambah lagi kemeriahan, Hilton KL menjemput pengunjung untuk menyertai Cabutan Bertuah Perayaan yang mana tetamu yang menjamu selera dengan satu resit akan menerima baucar tunai RM100 dan kad cabutan bertuah.
Pelanggan yang menerima baucar tersebut akan mengisi maklumat diri dan ia di masukkan kad ke dalam stoking Krismas yang disediakan lalu digantungkannya di pokok Krismas Vasco’s untuk berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM6,000.
Dalam pada itu, bagi mereka yang sedang merancang untuk membawa keluarga, rakan dan orang tersayang menjamyu selera di hotel berkenaan, terdapat beberapa tawaran istimewa daripada Hilton KL, antaranya adalah di Vasco yang menyediakan hidangan sepanjang hari.
Tawaran bufet dibuka untuk sesi makan tengahari, bufet makanan laut pada hari bekerja dan juga hujung minggu dijual pada harga antara RM158 seorang dewasa sehingga RM238 dewasa.
Bufet untuk acara makan malam Krismas ditawarkan sebanyak RM318 semalam dengan menu melazatkan yang mana antaranya adalah Tiram Mutiara, Lobster Boston, Dakgalbi Keju Korea, Rusa Panggang 6 Jam dan juga Pencuci Mulut.
Turut ditawarkan bufet untuk makan tengah hari pada Krismas dan makan malam dijual pada harga antara RM288 dewasa hingga RM298 manakala bagi sambutan Tahun Baru 2026, pihak hotel menawarkan sesi bufet makan tengahari dan juga makan malam Tahun Baru yang dijual pada harga RM198 seorang dewasa sehingga RM318 seorang dewasa. -KOSMO!ONLINE