PETALING JAYA – Malaysia terus diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai peneraju agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di rantau ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berikutan penganjuran Global Skills Forum 2025 yang buat julung kali diadakan di luar Geneva.
“Global Skill Forum 2025 ini menghimpunkan pemimpin dan wakil dari hampir 50 negara bagi membincangkan hala tuju pembangunan kemahiran global.
“Insya-Allah, komitmen ini akan diteruskan bagi memastikan tenaga kerja negara kekal relevan, beretika dan berdaya saing dalam ekonomi masa depan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, kemahiran ialah ‘aset’ sebenar masa depan, manakala pengetahuan merupakan kunci yang membuka pintu kepada kemakmuran bersama.
Global Skills Forum 2025, yang dianjurkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berlangsung selama dua hari sejak Selasa lalu di Kuala Lumpur.
Forum itu memfokuskan kepada isu-isu strategik seperti transformasi digital, ekonomi hijau, kecerdasan buatan (AI), dan industri baharu yang membentuk masa depan pekerjaan. – KOSMO! ONLINE














